Pages

Jom Sertai Blog ini

Tuesday, April 13, 2010

LONDON 12 April - Penulis dan pejuang ateis Britain, Richard Dawkins giat berusaha supaya Pope Benedict ditahan untuk didakwa berhubung kes penderaan seksual ke atas kanak-kanak di gereja Katholik ketika beliau melawat negara itu pada September ini.

Dawkins yang merupakan saintis dan pengkritik keras agama telah meminta peguam hak asasi kemanusiaan meneliti sama ada dakwaan boleh dibuat ke atas pope.

Lawatan empat hari bermula 16 September ini akan menjadi lawatan pertama Pope sejak Pope John Paul II mengadakan lawatan pada 1982 dan menjadi lawatan rasmi pope ke Britain.

Gereja Katholik menolak dakwaan bahawa pope membantu melindungi skandal pencabulan paderi dan Vatican menuduh media melancarkan kempen menghina beliau.

Dawkins dan wartawan Inggeris, Christopher Hitchens meminta peguam Geoffrey Robertson dan Mark Stephens mencari jalan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Pope.

Dalam e-mel kepada Reuters, Stephens menyatakan bahawa terdapat tiga kemungkinan yang boleh diambil iaitu membuat aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda, membuat dakwaan persendirian atau awam 'atas jenayah kemanusiaan' atau kes sivil.

Mereka akan menentang bahawa Pope tidak mempunyai kekebalan diplomatik daripada dakwaan seperti ketua negara kerana Vatican hanya mempunyai 'status pemerhati tetap' di Amerika Syarikat (AS) berbanding anggota penuh dan hak mengundi.

Dawkins, penulis buku The God Delusion dan The Selfish Gene memberitahu akhbar Sunday Time bahawa dia mengesyaki skandal pencabulan itu telah disembunyikan oleh gereja.

"Lelaki ini tidak terkecuali daripada undang-undang. Penyembunyian pencabulan kanak-kanak adalah satu jenayah," kata Hitchens yang menerbitkan buku God Is Not Great: The Case Against Religion pada 2007.

Pengkritik menuduh Benedict cuai dalam menguruskan skandal pencabulan ketika menjawat jawatan sebagai Kardinal di negara kelahirannya Jerman dan Rom. - Reuters

Sumber; Utusan Online ARKIB : 13/04/2010

No comments:

Post a Comment