Isu pemanasan global dan perubahan iklim kini semakin hangat diperbincangkan, walaupun sesetengah pihak masih mempertikaikan kesahihannya. Sama ada dunia semakin panas atau tidak, apa yang pasti adalah, kita sememangnya sedang menyaksikan kemusnahan alam sekitar yang semakin dahsyat hasil kerakusan manusia mengkonsumsi sumber alam semula jadi atas nama pembangunan dan pemodenan.
Inilah kesan langsung revolusi industri yang semakin mengganas sejak ia mula tercetus lebih seratus tahun yang lalu. Perubahan iklim ini cuba diselesaikan melalui pelbagai persidangan saintifik di peringkat antarabangsa dan yang terbaru adalah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark atau COP15 (7-18 Disember 2009).
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak turut menghadiri persidangan sia-sia tersebut di mana beliau telah memberikan komitmen Malaysia bagi membantu menangani kesan-kesan pemanasan global dengan mengurangkan pengeluaran karbon dioksida (CO2) kepada 40% menjelang tahun 2020. Menurut satu laporan PBB, pengeluaran karbon oleh Malaysia pada 2006 adalah sebanyak 187 juta tan.
Sebagaimana dilaporkan banyak media, persidangan kali ini sebenarnya tidak menghasilkan apa-apa, malahan menyaksikan kemarahan negara-negara miskin yang semakin meningkat. Sesiapa sahaja yang mengikuti persidangan-persidangan, komitmen-komitmen atau perjanjian-perjanjian, dan mengkaji penyelidikan yang dijalankan oleh para saintis, pakar dan pemikir Barat, akan menyedari bahawa kerja-kerja yang berkaitan dengan alam sekitar ini telah tersasar sejak mula lagi.
Ini berpunca daripada perdebatan yang hanya dihadkan kepada perkara ‘simptom’, yakni kepada kerosakan alam sekitar dan sebab langsungnya seperti gas rumah hijau yang telah mempengaruhi persekitaran dan peranan industri dalam konteks ini. Perkara ini sebenarnya adalah ‘kesan’ kepada masalah dan bukan ‘punca’ kepada masalah. Wajarlah jika tidak ada kemajuan yang signifikan, apatah lagi kejayaan, kepada usaha menyelesaikan isu-isu alam sekitar kerana yang didiagnosakan adalah kesan, bukannya punca.
Punca sebenar kepada masalah yang dihadapi sekarang adalah penerapan ideologi Kapitalis yang sesat lagi menyesatkan di dunia hari ini. Ideologi ini mengagungkan akal manusia dalam membuat undang-undang yang melahirkan sistem dan budaya materialistik dan berorientasi manfaat semata-mata. Hakikatnya, dunia kini, baik dunia Barat mahupun dunia Islam diperintah oleh para pendukung Kapitalis yang teramat rakus.
Tamadun jahil ini menganggap Tuhan perlu dipinggirkan dari mencampuri urusan kehidupan manusia. Ia melahirkan idea kebebasan yang berakhir dengan menanamkan persepsi bahawa kebahagian manusia akan tercapai dengan menikmati sebanyak-banyaknya kepuasan jasmani tanpa unsur spiritual. Ideologi Kapitalis meyakini bahawa masalah ekonomi adalah berpunca dari terbatasnya barang dan perkhidmatan sedangkan kehendak manusia, menurut ideologi ini adalah tidak terhad.
Oleh itu, menurut ideologi rosak ini, pengeluaran mestilah sentiasa dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan dan kehendak manusia yang dikatakan tidak terbatas itu, walaupun hakikatnya mereka hanyalah ingin memenuhi hawa dan keegoan semata-mata, bukannya keperluan. Untuk memenuhi kehendak manusia maka sumber alam digunakan tanpa mempertimbangkan kesannya kepada alam sekitar sehingga para Kapitalis sanggup merosakkan alam sekitar demi meraih sebanyak-banyak manfaat. Mereka malah sanggup menganiaya dan membunuh demi memenuhi nafsu serakah mereka. Inilah sifat ideologi Kapitalis, yang bukan sahaja diamalkan oleh Barat, malah oleh para pemimpin umat Islam sendiri.
No comments:
Post a Comment