Pages

Jom Sertai Blog ini

Showing posts with label penyakit. Show all posts
Showing posts with label penyakit. Show all posts

Tuesday, August 10, 2010

Platelet oh Platelet! Naiklah engkau...


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

TROMBOSITOPENIK purpura idiopatik (ITP). Berbelit lidah menyebut nama penyakit yang tidak pernah didengar ini. Ya, ITP adalah sejenis penyakit darah yang jarang ditemui tetapi ia sangat serius kerana boleh menyebabkan pendarahan berpanjangan yang membawa kepada kematian.

Pesakit ITP akan mengalami bengkak dan pendarahan berlebihan. Dalam beberapa kes, pesakit mengalami pendarahan serius seperti di otak yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.


Seseorang dikatakan menghidap ITP apabila jumlah platelet dalam darahnya terlalu rendah iaitu kurang daripada 150,000 bagi setiap mikro liter. Jumlah normal platelet ialah antara 150,000 hingga 400,000 semikro liter. Seseorang pesakit dikategorikan dalam kumpulan serius jika jumlah plateletnya kurang 10,000 semikro liter. Jumlah platelet kebanyakan pesakit ITP ialah 30,000 semikro liter dan jumlah ini cukup untuk menghalang pendarahan.


“Bagaimanapun reaksi badan pesakit terhadap keadaan kekurangan platelet ini berbeza, kata perunding hematologi, Dr Ng Soo Chin.


“Tiada siapa tahu penyebab sebenar ITP tetapi ia dipercayai berpunca daripada kecelaruan sistem imun badan. Dalam kes ITP, sistem imun menyerang dan memusnahkan platelet serta sel yang menghasilkan platelet (megakariosit) yang dianggap sebagai benda asing.


“Sistem imun pesakit akan sentiasa memerangi dan memusnahkan platelet dan megakariosit sehingga jumlah platelet dalam badan pesakit menjadi terlalu kecil.


“Keadaan ini menyebabkan pesakit berisiko mengalami lebam, pendarahan mukosa (lapisan sel yang melapik rongga dalam badan) dan dalam sesetengah kes teruk, berlaku pendarahan pada dalam tengkorak secara tiba-tiba,” katanya.


Siapa yang terdedah kepada penyakit ini? Sesiapa saja. Ia boleh berlaku pada semua peringkat umur; biasanya kanak-kanak perempuan dan wanita muda lebih ramai mengalami penyakit ini (dua kali ganda) berbanding lelaki. ITP pernah dianggap penyakit orang muda tetapi kini pakar perubatan mendapati ia lebih kerap menyerang orang berusia sekurang-kurangnya 60 tahun. Menurut Dr Ng, kanak-kanak mudah mengalami IPT terutama selepas jangkitan virus seperti virus selesema atau beguk. Begitupun keadaan mereka dikelaskan sebagai IPT akut; yang hanya berlaku pada ketika itu dan tidak berlanjutan sehingga dewasa. Pada kebanyakan kanak-kanak, ITP akan hilang sendiri dalam masa dua hingga lapan minggu.


Benar, ITP adalah penyakit yang jarang ditemui dengan kelaziman 9.5 kes bagi setiap 100,000 orang. Di Malaysia, jumlah sebenar pesakit tidak diketahui tetapi dianggarkan seramai 2,500 orang dengan 500 kes baru setahun.


Jumlah kematian dalam tempoh lima tahun ialah dua peratus bagi pesakit kanak- kanak dan 48 peratus bagi pesakit dewasa. Risiko kematian akibat ITP pula dianggarkan 1.2 peratus bagi pesakit berumur 40 hingga 60 tahun dan 13 peratus bagi pesakit melebihi 60 tahun.

Tanda dan gejala ITP
Antara tanda dan gejala ITP ialah:

•Lebam (akibat berlaku pendarahan pada salur darah halus di bawah kulit pecah)

•Bintik merah atau ungu pada kulit (petekia)

•Bagi pesakit wanita, haidnya lebih banyak
Selain itu, pesakit ITP juga akan mengalami beberapa komplikasi seperti lebam, hidung berdarah, gusi berdarah terutama ketika rawatan gigi atau pendarahan lain yang sukar dihentikan. Pendarahan otak jarang berlaku tetapi boleh membawa maut.

“Bukan semua pesakit ada tanda atau gejala ITP dan keadaan kekurangan platelet biasanya dikesan apabila mereka menjalani ujian darah bagi tujuan lain. Doktor biasanya mengesyaki pesakit menghidap ITP jika tiada masalah kesihatan lain dikesan. Pengesanan penyakit dilakukan berdasarkan sejarah perubatan pesakit, pemeriksaan fizikal, ujian darah dan bagi sesetengah kes mungkin memerlukan ujian sumsum tulang,” katanya pada pelancaran ubat baru merawat ITP, Revolade untuk meningkatkan pengeluaran platelet. Oleh kerana ITP tidak mempunyai tanda dan gejala yang nyata, maka ia sukar dikesan jika tidak melakukan ujian darah. Antara pendekatan yang disarankan bagi pesakit yang disyaki menghidap ITP ialah:

•Pemeriksaan kesihatan menyeluruh

•Sejarah perubatan pesakit dan ahli keluarga

•Pemeriksaan fizikal

•Pemeriksaan paras immunoglobulin

•Pemeriksaan sumsum tulang

•Ujian kumpulan darah (Rh)

•Ujian langsung antiglobulin

•Ujian untuk jangkitan bakteria Helicobacter pylori, virus HIV
Sehingga kini tiada kaedah dikenalpasti yang boleh menyembuhkan ITP tetapi ia boleh dirawat dan jumlah platelet boleh ditingkatkan dengan pengambilan ubat. Antara kaedah rawatan yang digunakan sekarang ialah:
•Ubat - Ubat seperti steroid dan immunoglobulin adalah ubat pertama yang akan diberikan kepada pesakit. Ia boleh membantu menambah jumlah platelet dalam darah dengan mengubah aktiviti sistem imun. Bagaimanapun ubat ini mempunyai banyak kesan sampingan dan masalah boleh berulang. Pengambilan ubat steroid yang berpanjangan boleh menimbulkan banyak kesan sampingan seperti pertambahan berat badan, ciri Sindrom Cushing (leher berlapis), kencing manis, tekanan darah tinggi, osteoporosis, emosi tidak stabil dan cepat berubah, katarak, glaukoma, risiko jangkitan meningkat dan haid yang tidak menentu.



•Pembedahan pembuangan limpa (splenektomi) - Kebanyakan pembedahan dilakukan pada pesakit dewasa jika pengambilan ubat steroid tidak menampakkan sebarang kesan. Pembuangan limpa akan menghentikan kemusnahan platelet di dalam limpa tetapi pada masa sama, pesakit terdedah kepada risiko jangkitan sepanjang hayat mereka. Bagaimanapun risiko jangkitan ini boleh dikurangkan dengan mendapatkan vaksinasi sebelum pembedahan.


•Pilihan lain - Dalam sesetengah kes pesakit ITP yang teruk dan boleh mengalami pendarahan yang mengancam nyawa mungkin memerlukan transfusi platelet dan perlu tinggal di hospital sepanjang rawatan. Walaupun jangka hayat platelet sangat pendek (akibat kesan antibodi antiplatelet), ia tetap diberikan kepada pesakit sebelum pembedahan.

Bagi individu yang mengalami masalah kekurangan platelet akibat jangkitan, rawatan untuk melawan jangkitan berkenaan boleh membantu menambah jumlah platelet dan mengurangkan gejala pendarahan.


“Selain ITP, isu kekurangan platelet adalah masalah besar dalam pelbagai kes yang dirujukkan ke hospital. Sekurang-kurangnya satu per tiga kes yang dirujukkan kepada pakar darah (hematologi) di hospital besar adalah berkaitan dengan kekurangan platelet.


“Kira-kira lima hingga 10 peratus pesakit yang dimasukkan ke ICU berikutan masalah ini dan jumlahnya kini meningkat kepada 35 peratus. Apa yang membimbangkan ialah kadar kematian pesakit yang kekurangan platelet lebih tinggi (dua kali ganda) berbanding pesakit lain,” katanya.


Namun kini, dengan adanya ubat baru dalam bentuk pil dan hanya perlu diambil sehari sekali, pesakit boleh menjalani kehidupan yang lebih baik. Kajian klinikal mendapati ubat baru ini mampu meningkatkan jumlah platelet sebanyak lapan kali ganda (50,000 hingga 400,000 platelet semikro liter). Ia memberikan harapan baru kepada pesakit yang sudah mencuba banyak jenis ubat tetapi semuanya tidak menunjukkan kesan memberangsangkan.


Menurut Pengurus Hal- Ehwal Perubatan Serantau (Onkologi) GlaxoSmithKline Asia Tenggara, Dr Abishek Bhagat, kesan ubat baru ini boleh dilihat dalam masa dua minggu (jumlah platelet mencecah paras normal) dan pesakit kurang mengalami episod pendarahan. Ia secara tidak langsung akan mengurangkan penggantungan esakit kepada ubat ITP lain. “Pesakit yang memerlukan ubat steroid dalam dos tinggi, atau tidak menunjukkan reaksi yang baik terhadap ubat sedia ada, perlu mendapatkan rawatan selanjutnya. Dalam kes ini, mereka boleh berbincang dengan doktor untuk menggunakan ubat baru ini,” katanya.

Wednesday, April 7, 2010

NikmaTnya Anemia..semakin aku sujud pd Mu..

Terimbas kembali kenangan manis saat Allah menduga hati ini... (terbang kembali mencari memori yg segar dalam ingatan)(^-^)

Teringat ana pada kata-kata seorang sahabat serumah, "akak, cukup-cukup la. putih sangat dah tu..." ana tersenyum...subhanallah..bukan kerana bangga kerana ana putih dan ana yakin bukan kerana putihnya ana dia berkata begitu.Putih kerana pucat. putih kerana kawasan2 yg putih itu tak berdarah..

Kerana anemia ana semakin bersyukur dan menghargai nikmat memiliki darah. Hinggakan andai jari terluka sedikit pun ana rasa sayang pada darah yg menitis..'Betapa berharganya darah buatku...' meniti hari-hari sebagai seorang pengidap anemia amatlah mencabar. Tapi ujian yg ana perolehi tidaklah seberat ujian pejuang-pejuang islam yg mengalir darahnya kerana islam.. kerana syahid sbg syuhada yg tinggi darjatnya di sisi Tuhan..

Menyelusuri kembali kisah tentang AneMiA.............

Anemia adalah suatu keadaan di mana terdapat kekurangan sel darah merah di dalam peredaran darah untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan. Fungsi ini dijalankan oleh protein yang dipanggil haemoglobin. Anemia biasanya bermaksud haemoglobin yang tidak mencukupi. Paras Haemoglobin yang normal adalah diantara 11.5 hingga 16.5g/dL untuk perempuan dan 12.5 hingga 18.5g/dL untuk lelaki.

Di saat Allah menguji, ana hanya memiliki 3.4 paras hemoglobin..subhanallah..bila dan di mana sahaja dgn tahap haemoglobin serendah itu, ana boleh collapse dgn tiba-tiba.. tp syukur pd Tuhan Yg satu..dipelihara diri ini krn saat kritikal berlaku di dalam rumah. Yg mana ada sahabat2 melihat,membantu..

Penyebab anemia

  1. Kehilangan darah (sama ada akut atau kronik).
    • Kehilangan darah yang akut boleh berlaku semasa kemalangan jalan raya atau selepas pembedahan. Kehilangan darah yang melebihi 500ml biasanya memerlukan gantian darah.
    • Kehilangan darah kronik biasanya berlaku semasa kedatangan haid yang berlebihan, infestasi cacing dan lain-lain keadaan.

  2. Kurang penghasilan sel darah merah di dalam sum-sum.

    Ini mungkin disebabkan oleh :

    • Kekurangan faktor penting seperti zat besi,, vitamin B12, folate dan erythropoietin.
      • Pertumbuhan yang mendadak di kalangan remaja yang menyebabkan peningkatan keperluan zat besi di mana ianya melebihi paras penyerapan zat besi.
      • Kitaran haid bagi wanita dengan kehilangan anggaran 30mg zat besi setiap bulan boleh menyebabkan kekurangan zat besi.
    • Faktor Toksik : Penyakit Inflamasi, kerosakan hati dan ginjal, ubatan.
    • Kekurangan hormone : Paras hormon tiroid rendah.
    • Kerosakan sum-sum : kanser darah, penyakit sum-sum.
    • Ganguan pembentukan sel darah merah : keadaan seperti Talasemia.

  3. Pemusnahan sel darah merah yang berlebihan.

    Berlaku di dalam beberapa jenis jangkitan atau pengambilan sesuatu ubat.

    Jenis anemia yang biasa berlaku ialah :

    • Anemia disebabkan kekurangan zat besi.
    • Talasemia.

Simptom dan gejala

Ramai dewasa menghidapi anemia tanpa disedari.

Simptom termasuk :

  • Keletihan setiap masa.
  • Pening.
  • Sesak nafas apabila melakukan aktiviti fizikal.
  • Kulit pucat.
  • Kadar denyutan jantung yang cepat.
  • Kurang daya ingatan.
  • Kehilangan berat badan.

Komplikasi

Anemia yang teruk boleh menyebabkan :

  • Kegagalan jantung di mana fungsi jantung menjadi lemah dan tidak mencukupi.
  • Mengalami masalah semasa mengandung seperti melahirkan bayi pramatang dan pertumbuhan janin yang terencat semasa di dalam kandungan.

Rawatan

Pemeriksaan haemoglobin untuk menentukan samada anda menghidapi anemia atau tidak boleh dilakukan di klinik berhampiran dengan anda.

Rawatan bergantung kepada jenis anemia yang dihadapi :

  • Jika ia disebabkan oleh masalah perubatan seperti talasemia, leukaemia, rawatan khusus perlu dilakukan.
  • Jika ia disebabkan oleh kekurangan zat besi, maka seseorang itu perlu mengambil makanan seimbang yang mengandungi zat besi yang tinggi dan juga pil supplemen zat besi. Sila lihat Jadual 1 untuk kandungan zat besi dalam makanan.

Tips lain: Untuk merawat kekurangan zat besi :

  • Adalah disyorkan agar pil supplemen zat besi dimakan bersama dengan vitamin C untuk meningkatkan penyerapan zat besi.
  • Penyebab utama seperti infeksi cacing dan keradangan usus perlu dirawat.

Jadual 1 : Kandungan zat besi dalam makanan

Makanan

Saiz Hidangan

Zat besi (mg)

Hati, Ayam

105g

12.8

Peha ayam

125g

1.0

Daging lembu tanpa lemak

268g

5.9

Hati, Lembu

124g

11.1

Tuna

90g

1.1

Kerang

86g (10 biji kerang)

2.0

Paru

92g

7.7

Bijiran yang diperkaya dengan 100% zat besi (coco crunches, cornflakes)

¾ cawan

18

Oatmeal

1 cawan

10

Tauhu

1/2 cawan

3.4

Kacang tanah

1 cawan

6.6

Bayam

½ cawan

3.2

Kismis

½ cawan

1.5

Roti

1 keping

0.9

Nasi

1 cawan

0.3

Rujukan: Malaysian Dietary Guidelines 2005